Fadhilat ini dipetik dari tajuk buku Khasiat Asmaul-Husna dan
Himpunan Ayat-Ayat Al-Quran, susunan : Abu Nur Husnina, keluaran Pustaka
Ilmi.
1. "Ya
Allah!" apabila dizikirkan 500x setiap malam, lebih-lebih lagi
selepas solat tahajjud atau solat sunat 2 rakaat mempunyai pengaruh yang besar
di dalam mencapai segala yang dihajati.
2. "Ya
Rahman!" apabila dizikirkan sesudah solat 5 waktu sebanyak
500x, maka hati kita akan menjadi terang, tenang dan sifat-sifat pelupa serta
gugup akan hilang dengan izin Allah.
3. "Ya
Rahim!" apabila dizikirkan sebanyak 100x setiap hari,
InsyaAllah kita akan mempunyai daya penarik yang besar sekali hingga manusia
merasa cinta & kasih serta sayang terhadap kita.
4. "Ya
Malik!" apabila dizikirkan sebanyak 121x setiap pagi atau
setelah tergelincirnya matahari, segala perkerjaan yang dilakukan setiap hari
akan mendatangkan berkat & kekayaan yang diredhai Allah.
5. "Ya
Quddus!" apabila dizikirkan sebanyak 100x setiap pagi setelah
tergelincir matahari, maka hati kita akan terjaga dari semua penyakit hati
seperti sombong, iri hari, dengki dll.
6. "Ya
Salam!" apabila dizikirkan sebanyak 136x, InsyaAllah jasmani
& rohani kita akan terhindar dari segala penyakit sehingga badan
menjadi segar sihat & sejahtera.
7. "Ya
Mukmin!" apabila dizikirkan sebanyak 236x, InsyaAllah diri
kita, keluarga & segala kekayaan yang dimiliki akan terpelihara
& aman dari segala macam gangguan yang merosakkan.
8. "Ya
Muhaimin!" apabila dizikirkan sebanyak 145x sesudah solat
fardhu Isyak, Insyaallah fikiran & hati kita akan menjadi terang
& bersih.
9. "Ya
'Aziz!" apabila dizikirkan sebanyak 40x sesudah solat subuh,
InsyaAllah, kita akan menjadi orang yang mulia, disegani orang kerana penuh
kewibawaan.
10."Ya
Jabbar!" apabila dizikirkan sebanyak 226x pagi &
petang, semua musuh akan menjadi tunduk & patuh dengan izin Allah.
11. "Ya
Mutakabbir!" apabila dizikirkan sebanyak 662x, maka dengan
kebijaksanaan bertindak, kita akan dapat menundukkan semua musuh, bahkan mereka
akan menjadi pembantu yg setia.
12."Ya
Khaliq!" dibaca mengikut kemampuan atau sebanyak 731x,
InsyaAllah yang ingin otak cerdas, cepat menerima sesuatu pelajaran , amalan
ini akan memberikan otak kita cerdas dan cepat tangkap (faham).
13."Ya
Baarii'!" sekiranya kita berada didalam kesukaran atau sedang
sakit, dibaca sebanyak 100x selama 7 hari berturut-turut, InsyaAllah kita akan
terlepas dari kesukaran dan sembuh dari penyakit tersebut.
14."Ya
Musawwir!" sekiranya seorang isteri yang sudah lama belum
mempunyai anak, maka cubalah ikhtiar ini dengan berpuasa selama 7 hari dari
hari Ahad hingga Sabtu. Di waktu hendak berbuka puasa, ambil segelas air dan
dibacakan "Ya Musawwir" sebanyak 21x, kemudian diminum air tersebut
untuk berbuka puasa. Bagi sang suami, hendaklah berbuat perkara yang sama
tetapi hanya dengan berpuasa selama 3 hari. Kemudian pada waktu hendak
berjimak, bacalah zikir ini sebanyak 10x, InsyaAllah akan dikurniakan anak yang
soleh.
15. "Ya
Ghaffaar!" sambil beri'tikaf (diam dalam masjid dalam keadaan
suci) bacalah zikir ini sebanyak 100x sambil menunggu masuknya waktu solat
Jumaat, InsyaAllah akan diampunkan dosa-dosa kita.
16. "Ya
Qahhaar!" dizikir menurut kemampuan atau sebanyak 306x, maka
hati kita akan dijaga dari ketamakkan & kemewahan dunia dan InsyaAllah
orang-orang yang selalu memusuhi kita akan sedar & tunduk akhirnya.
17. "Ya
Wahhaab!" dizikir sebanyak 100x sesudah solat fardhu, barang
siapa yang selalu didalam kesempitan, Insya Allah segala kesulitan atau
kesempitan dalam soal apa pun akan hilang.
18. "Ya
Razzaq!" dizikir mengikut kemampuan sesudah solat fardhu
khususnya solat subuh, Insya Allah akan dipermudahkan rezeki yang halal dan
membawa berkat. Rezeki akan datang tanpa diduga!! tetapi perlulah dilakukan
dengan ikhtiar yang zahir.
19. "Ya
Fattah!" dizikir sebanyak 71x sesudah selesai solat subuh,
InsyAllah hati kita akan dibuka oleh Allah, sehingga mudah menerima nasihat
agama.
20. "Ya
'Aalim!" dizikir sebanyak 100x setiap kali selesai solat
Maktubah, Insya Allah akan mendapat kemakrifatan yang sempurna.
21. "Ya
Qaabidhu!" dizikirkan 100x setiap hari, maka dirinya akan
semakin dekat dengan Allah & terlepas dari segala bentuk ancaman.
22. "Ya
Baasithu!" Bagi mereka yg berniaga atau mempunyai usaha2 lain,
kuatkanlah usaha dan berniaga itu dengan memperbanyakkan membaca zikir ini
setiap hari, InsyaAllah rezeki akan menjadi murah.
23. "Ya
Khaa'fidh!" dizikirkan sebanyak 500x setiap hari, dalam
keadaan suci, khusyuk & tawaduk, InsyaAllah segala maksud akan
ditunaikan Allah. Juga apabila mempunyai musuh, musuh itu akan jatuh
martabatnya.
24. "Ya
Raafi!" dizikirkan setiap hari, baik siang atau malam sebanyak
70x, InsyaAllah keselamatan harta benda di rumah, di kedai atau di
tempat-tempat lain akan selamat & terhindar dari kecurian.
25. "Ya
Mu'izz!" dizikirkan
sebanyak 140x setiap hari, Insya Allah akan memperolehi kewibawaan yang besar
terutama ketua-ketua jabatan atau perniagaan.
26. "Ya
Muzill!" Perbanyakkanlah
zikir ini setiap hari, sekiranya ada orang berhutang kepada kita dan sukar
untuk memintanya, InsyaAllah si penghutang akan sedar dan membayar hutangnya
kembali.
27. "Ya
Samii'!" Sekiranya inginkan doa kita makbul dan pendengaran
telinga kita tajam, biasakanlah zikir ini setiap hari menurut kemampuan,
lebih-lebih lagi sesudah solah Dhuha, InsyaAllah doa akan mustajab.
28. "Ya
Bashiir!" Dizikirkan sebanyak 100x sebelum solat Jumaat,
InsyaAllah akan menjadikan kita terang hati, cerdas otak & selalu
diberikan taufik & hidayah dari Allah.
29. "Ya
Hakam!" dizikirkan sebanyak 68x pada tengah malam dalam
keadaan suci, InsyaAllah dapat membuka hati seseorang itu mudah menerima ilmu-ilmu
agama & membantu kecepatan mempelajari ilmu-ilmu agama.
30. "Ya
Adllu!" dizikirkan sebanyak 104x setiap hari sesudah selesai
solat 5 waktu, InsyaAllah diri kita selalu dapat berlaku adil.
31. "Ya
Lathiif!" Dengan memperbanyakkan zikir ini mengikut kemampuan,
InsyaAllah bagi para peniaga, ikhtiar ini akan menjadikan barangan jualannya
menjadi laris dan maju.
32. "Ya
Khabiir!" Dengan memperbanyakkan zikir ini setiap hari,
terkandung faedah yang teramat banyak sekali sesuai dengan maksud zikir ini
antara lain faedahnya ialah dapat bertemu dengan teman atau anak yang telah
terpisah sekian lama.
33. "Ya
Haliim!" Dizikirkan sebanyak 88x selepas solat lima waktu,
bagi mereka yang mempunyai kedudukan di dalam pemerintahan, syarikat atau apa
saja, InsyaAllah dipastikan kedudukannya tidak akan dicabar atau
diungkit-ungkit atau tergugat.
34. "Ya
'Aziim!" dizikirkan sebanyak 12x setiap hari untuk orang yang
sekian lama menderitai sakit, InsyaAllah akan sembuh. Juga apabila dibaca 12x
kemudian ditiupkan pada tangan lalu diusap-usap pada seluruh badan, maka dengan
izin Allah akan terhindar dari gangguan jin, jin syaitan & sebagainya.
35. "Ya
Ghafuur!" bagi orang yang bertaubat, hendaklah memperbanyakkan
zikir ini dengan mengakui dosa-dosa dan beriktikad untuk tidak mengulanginya,
InsyaAllah akan diterima taubatnya oleh Allah.
36. "Ya
Syakuur!" dizikirkan sebanyak 40 x sehabis solat hajat,
sebagai pengucapan terima kasih kepada Allah, InsyaAllah semua hajat kita akan
dimakbulkan Allah. Lakukanlah setiap kali kita mempunyai hajat yang penting
& terdesak.
37. "Ya
'Aliy!" Untuk mencerdaskan otak anak kita yang bebal, tulislah
zikir ini sebanyak 110x (di dalam bahasa Arab bukan Bahasa Malaysia) lalu
direndam pada air yang dingin dan diberikan si anak meminumnya, InsyaAllah lama
kelamaan otak si anak itu akan berubah cemerlang dan tidak dungu lagi.
InsyaAllah mujarab.
38. "Ya
Kabiir!" Bagi seseorang yang kedudukannya telah dirampas atau
dilucut gara-gara sesuatu fitnah, maka bacalah zikir ini sebanyak 1,000 x
selama 7 hari berturut-turut dalam keadaan suci sebagai pengaduan kepada Allah.
Lakukanlah sesudah solat malam (tahajud atau hajat).
39. "Ya
Hafiiz!" dizikir sebanyak 99x, InsyaAllah diri kita akan
terlindung dari gangguan binatang buas terutamanya apabila kita berada di dalam
hutan.
40. "Ya Muqiit!" Sekiranya kita berada di dalam kelaparan
seperti ketika sesat di dalam hutan atau di mana sahaja sehingga sukar untuk
mendapatkan bekalan makanan, maka perbanyakkan zikir ini. InsyaAllah badan kita
akan menjadi kuat dan segar kerana rasa lapar akan hilang.
41. "Ya
Hasiib!" Untuk memperteguhkan kedudukan yang telah kita jawat,
amalkan zikir ini sebanyak 777x sebelum matahari terbit & selepas solat
Maghrib, InsyaAllah akan meneguhkan kedudukan kita tanpa sebarang gangguan.
42. "Ya
Jaliil!" Barangsiapa mengamalkan zikir ini pada sepertiga
malam yang terakhir, InsyaAllah kita akan mendapati perubahaan yang
mengkagumkan, perniagaan akan bertambah maju. Andai seorang pegawai, maka tanpa
disedari kedudukan kita akan lebih tinggi dan terhormat dan begitulah
seterusnya dengan izin Allah.
43. "Ya
Kariim!" Untuk mencapai darjat yang tinggi dan mulia di dunia
mahupun di akhirat kelak, maka amalkan zikir ini sebanyak 280x ketika hendak
masuk tidur. Nescaya Allah akan mengangkat darjat mereka yang mengamalkan zikir
ini.
44. "Ya
Raqiib!" Bagi meminta pertolongan kepada Allah terhadap
penjagaan barang yang dikhuatirkan, maka zikirkan sebanyak 50x setiap hari
dengan niat agar barang-barang yang dikhuatirkan yang berada di tempat yang
jauh dan sukar dijaga terhindar dari sebarang kecurian mahupun gangguan
lainnya. Bertawakkal dan yakinlah kepada Allah. InsyaAllah.
45. "Ya
Mujiib!" Sesungguhnya Allah adalah Zat yang menerima doa
hambaNya & agar doa kita mustajab & selalu diterima Allah,
hendaklah mengamalkan zikir ini sebanyak 55 x sesudah solat subuh. Insyaallah
Tuhan akan mengabulkan doa kita.
46. "Ya
Waasi!" Apabila di dalam kesulitan maka amalkan zikir ini
sebanyak 128x setiap pagi dan petang, InsyaAllah segala kesulitan akan hilang
berkat pertolongan Allah. Andai zikir ini sentiasa diamalkan, InsyaAllah Tuhan
akan menjaga kita dari hasad dengki sesama makhluk.
47. "Ya
Hakiim!" Bagi pelajar atau sesiapa sahaja yang memperbanyakkan
zikir ini setiap hari, InsyaAllah akalnya akan menjadi cerdas dan lancar dalam
menghafal dan mengikuti pelajaran. Amalkanlah sekurang-kurangnya 300x setiap
hari.
48. "Ya Waduud!" Amalkan zikir ini sebanyak 11,000 x pada
setiap malam. InsyaAllah kita akan menjadi insan yang sentiasa bernasib baik,
disayangi & rumahtangga kita akan sentiasa berada didalam keadaan
harmoni.
49. "Ya
Majiid!" Untuk ketenteraman keluarga di mana setiap anggota
keluarga sentiasa menyayangi dan menghormati dan khasnya kita sebagai ketua
keluarga, maka amalkan zikir ini sebanyak 99x, sesudah itu hembuskan kedua
belah tapak tangan dan usap ke seluruh muka. InsyaAllah semua anggota keluarga
kita akan menyayangi dan menghormati kita sebagai ketua keluarga.
50. "Ya
Baa'its!" Zikirkan sebanyak 100x dengan meletakkan kedua
tangan ke dada, InsyaAllah akan memberi kelapangan dada dengan ilmu dan hikmah.
51. "Ya
Syahiid!" Apabila ada di kalangan anggota keluarga kita yang
suka membangkang dan sebagainya, maka zikirkan sebanyak 319 x secara berterusan
setiap malam sehingga si pembangkang akan sedar & berubah perangainya.
52. "Ya
Haq"! Perbanyakkan zikir ini, InsyaAllah ianya sangat
berfaedah sekali untuk menebalkan iman dan taat di dalam menjalankan perintah
Allah.
53. "Ya
Wakiil" Sekiranya terjadi hujan yang disertai ribut yang kuat,
atau terjadi gempa, maka ketika itu perbanyakkan zikir ini, InsyaAllah bencana
tersebut akan menjadi reda dan kembali seperti sediakala.
54. "Ya
Qawiy!" Amalkan zikir ini sebanyak mungkin agar kita tidak
gentar apabila berdepan dengan sebarang keadaan mahupun berdepan dengan si
zalim.
55. "Ya
Matiin!" Amalkanlah zikir ini sebanyak mungkin kerana ianya
mempunyai fadhilat yang besar sekali, antaranya untuk mengembalikan kekuatan
sehingga musuh merasa gentar untuk mengganggu.
56. "Ya
Waliy!" Barangsiapa yang menjawat sebarang jawatan atau
kedudukan, maka amatlah elok sekali mengamalkan zikir ini sebanyak mungkin
kerana dengan izinNya, kedudukan kita akan kukuh dan terhindar dari sebarang
gangguan oleh orang-orang yang bersifat dengki.
57. "Ya
Hamiid!" Perbanyakkan zikir ini sebagai pengakuan bahawa hanya
Allah sahaja yang paling berhak menerima segala pujian.
58. "Ya
Muhshiy!" Sekiranya kita inginkan diri kita digolongkan
didalam pertolongan yang selalu dekat dengan Allah (muraqabah), maka amalkan
zikir ini sebanyak mungkin sesudah solat 5 waktu.
59. "Ya
Mubdiu!" Agar segala apa yang kita rancangkan akan berhasil,
maka zikirkan sebanyak 470x setiap hari. InsyaAllah.
60. "Ya
Mu'id!" Andai ada anggota keluarga yang menghilangkan diri dan
sebagainya, amalkan zikir ini sebanyak 124x setiap hari sesudah solat.
InsyaAllah dipertunjukkan akan hasilnya.
61. "Ya
Muhyiy!" amalkan zikir ini sebanyak 58x setiap hari,
InsyaAllah kita akan diberikan kemuliaan darjat dunia dan akhirat kelak.
62. "Ya
Mumiit!" Barangsiapa memperbanyakkan zikir ini, InsyaAllah akan
dipermudahkan didalam perniagaan, berpolitik dan sebagainya.
63. "Ya
Hayyu!" Untuk mencapai kekuatan mental/batiniah didalam
menjalani kehidupan, perbanyakkanlah zikir ini.
64. "Ya
Qayyuum!" Telah berkata Imam Ghazali bahawa barangsiapa yang
ingin memperolehi harta yang banyak lagi berkat, ingin dikasihi oleh setiap
manusia, ingin berwibawa, ditakuti musuh dan ingin menjadi insan yang
terhormat, maka berzikirlah dgn "Ya Hayyu Ya Qayyuum" sebanyak 1,000x
setiap malam atau siang hari. Hendaklah melakukannya secara berterusan, Insya
Allah akan tercapai segala hajat.
65. "Ya
Waajid!" Andai berkeinginan keperibadian yang kukuh, tidak
mudah terpengaruh & teguh pendirian, maka perbanyakkan zikir ini.
66. "Ya
Maajid!" Demi kecerdasan otak dan agar dipermudahkan hati
untuk menerima pelajaran, maka hendaklah pelajar tersebut memperbanyakkan zikir
ini setiap hari.
67. "Ya
Waahid!" Bagi pasangan yang belum mempunyai cahayamata
& tersangat ingin untuk menimangnya, amalkanlah zikir ini sebanyak 190
x setiap kali selesai menunaikan solat 5 waktu selama satu bulan dan selama itu
juga hendaklah berpuasa sunat Isnin dan Khamis. InsyaAllah.
68. "Ya
Somad! Ketika dalam kelaparan akibat sesat atau kesempitan hidup,
maka pohonlah kepada Allah dengan zikir ini sebanyak mungkin. InsyaAllah, diri
akan berasa segar dan sentiasa.
69. "Ya
Qaadir!" Apabila kita berhajatkan sesuatu namun ianya selalu
gagal, maka amalkan zikir ini sebanyak 305x setiap hari, Insya Allah segala
hajat akan berhasil.
70. "Ya
Muqtadir!" Agar tercapai tujuan yang dikehendaki, selain dari
berikhtiar secara lahariah, maka berzikirlah dengan zikir ini seberapa mampu
sehingga ikhtiar kita itu berhasil kerana zikir ini akan mempercepatkan
keberhasilan hajat kita.
71. "Ya
Muqaddim!" Menurut Imam Ahmad bin Ali Al-Buuniy, beliau
berkata "Barangsiapa yang berzikir dengan zikir ini sebanyak 184x setiap
hari, InsyaAllah, nescaya segala usahanya akan berhasil".
72. "Ya Muahkhir"! Bagi meninggikan lagi ketaatan kita kepada
Allah, perbanyakkanlah zikir ini.
73. "Ya
Awwal!!" Barangsiapa yang mengamalkan zikir ini sebanyak 37x
setiap hari, InsyaAllah segala apa yang dihajati akan diperkenankan Allah.
74. "Ya
Aakhir!" Amalkan berzikir sebanyak 200x sesudah solat 5
waktu selama satu bulan, InsyaAllah Tuhan akan membuka pintu rezeki yang
halal.
75. "Ya
Dhaahir!" Amalkanlah zikir ini sebanyak 1,106x selesai solat
waktu di tempat yang sunyi (khalwat), nescaya Allah akan membuka hijab padanya
dari segala rahsia yang pelik dan sukar serta diberi kefahaman ilmu.
76. "Ya Baathinu!" Seperti no. 75 jugak, tetapi amalkan
sebanyak 30x sesudah solat fardhu.
77. "Ya
Waaliy!" Memperbanyakkan zikir ini setiap pagi dan petang
boleh menyebabkan seseorang itu menjadi orang yang ma'rifat, iaitu hatinya
dibuka oleh Allah. Difahamkan para wali Allah selalu memperbanyakkan zikir ini.
78. "Ya
Muta'aAliy!" Sekiranya kita akan berjumpa dengan mereka yang
berkedudukan tinggi atau mereka yang sukar untuk ditemui, maka bacalah zikir
ini sebanyak mungkin sewaktu mengadap. InsyaAllah dengan mudah kita akan
berjumpa dengannya dan segala hajat yang penting-penting akan berhasil.
79. "Ya
Bar!" Amalkanlah zikir ini sebanyak mungkin setiap hari,
InsyaAllah segala apa yang kita hajati akan terlaksana dengan mudah.
80. "Ya
Tawwaab!" Bagi orang yang selalu membuat dosa dan ingin
bertaubat maka hendaklah memperbanyakkan zikir ini supaya dengan mudah
diberikan petunjuk kembali ke jalan yang lurus.
81. "Ya
Muntaqim!" Jika kita berhadapan dengan orang yang zalim,
supaya dia tidak melakukan kezalimannya terhadap kita, maka hendaklah kita
memperbanyakkan zikir ini setiap kali sesudah solat fardhu. Insyaallah, kita
akan mendpt pertolongan Allah.
82. "Ya
'Afuww!" Barangsiapa memperbanyakkan zikir ini, nescaya dia
akan diampuni segala dosanya oleh Allah.
83. "Ya
Rauuf!" Bagi sesiapa yang inginkan dirinya disenangi oleh
teman atau sesiapa sahaja yang memandangnya, amalkan zikir ini seberapa mampu
samada pada waktu siang mahupun malam.
84. "Ya
Maalikul Mulki!" Seseorang pengarah atau ketua yang ingin
kedudukan yang kekal dan tetap tanpa diganggu gugat, hendaklah selalu
mengamalkan zikir ini sebanyak 212x sesudah solat fardhu dan 212 pada setiap
malam selama sebulan. InsyaAllah akan mendapat pertolongan Allah.
85. "Ya
Zul Jalaali wal Ikraam!" Amalkanlah zikir ini sebanyak 65x
setiap hari selama sebulan, InsyaAllah segala hajat kita akan tercapai dengan
pertolongan Allah.
86. "Ya
Muqsith!" Berzikirlah dengan zikir ini mengikut kemampuan,
InsyaAllah Tuhan akan menganugerahkan sifat adil kepada mereka yang
mengamalkannya.
87. "Ya
Jaami!" Sekiranya ada dikalangan keluarga kita atau isteri
kita yang lari dari rumah, maka amalkanlah zikir ini sebanyak mungkin pada
setiap hari dengan niat semoga Allah menyedarkan orang tersebut. Dengan izin
Allah orang yang lari itu akan pulang dalam jangka waktu yang singkat.
88. "Ya
Ghaniy!" Amalkanlah zikir ini pada setiap hari sebanyak
mungkin, InsyaAllah apa yang kita usahakan akan cepat berhasil &
kekayaan yang kita perolehi itu akan mendapat berkat.
89. "Ya
Mughniy!" Mintalah kekayaan yang bermanfaat untuk kehidupan
dunia & akhirat kepada Allah dengan memperbanyakkan zikir ini,
InsyaAllah segala hajat kita akan tercapai.
90. "Ya
Maani'!" Andai kita selalu mengamalkan zikir ini sebanyak 161x
pada waktu menjelang solat subuh setiap hari, InsyaAllah kita akan terhindar
dari orang-orang yang zalim dan suka membuat angkara.
91. "Ya
Dhaarr!" Asma ini sangat berguna didalam ikhtiar kita untuk
menyembuhkan sesuatu penyakit yang mana sudah lama dihidapi & telah
puas dihidapi & telah puas diubati. Amalkanlah zikir ini sebanyak 1001
x pada setiap hari, InsyaAllah dengan ikhtiar ini penyaki itu akan cepat
sembuh.
92. "Ya
Naafi!" Menurut Imam Ahmad Al-Buuniy, barangsiapa mengamalkan
zikir ini setiap hari, maka bagi orang yang sakit, sakitnya akan sembuh, dan
bagi orang yang susah akan dihilangkan kesusahannya dengan izin Allah.
93. "Ya
Nuur!" Menurut Sheikh Ahmad bin Muhammad As Shawi, barangsiapa
yang menghendaki kemuliaan yang agung & memperolehi apa yang
dimaksudkan baik kebaikan dunia mahupun kebaikandi akhirat kelak, maka
hendaklah selalu berzikir dengan zikir ini setiap pagi dan petang.
94. "Ya
Haadiy!" Bagi sesiapa yang dalam perjalanan ke suatu tempat
tertentu, kemudian ia tersesat, hendaklah ia memohon petunjuk Allah dengan
memperbanyakkan zikir ini, Insya Allah akan diberikan pertolongan Allah akan
cepat lepas dari kesesatan tersebut.
95. "Ya
Baadii!" Andai kita mempunyai rancangan yang sangat penting
dan bagi memastikan rancangan kita itu berjaya dan berjalan lancar, maka
berzikirlah dengan zikir ini sebanyak 500x selepas solat fardhu. InsyaAllah
Tuhan akan memberikan pertolongan hingga rancangan kita berjaya dan berjalan
lancar.
96. "Ya
Baaqy!" Amalkanlah zikir ini sebanyak mungkin tanpa mengira
batas waktu, InsyaAllah dengan ikhtiar ini semua perkerjaan yang telah menjadi
punca rezeki tidak akan mudah terlepas, perniagaan tidak akan rugi atau bankrap
dengan berkat zikir ini.
97. "Ya
Waarits!" Sekiranya kita berzikir sebanyak 500x selepas solat
fardhu atau sebagainya, supaya segala urusan kita itu berjalan lancar, maka
hendaklah pada setiap malam berzikir dengan zikir ini sebanyak 707x. InsyaAllah
berkat zikir ini Allah akan memberi petunjuk sehingga usaha kita akan berhasil
dengan baik & memberangsangkan.
98. "Ya
Rasyiid!" Walaupun kita tergolong didalam golongan yang cerdas
otak, namun biasakanlah zikir ini sebanyak mungkin, nescaya otak kita akan
menjadi bertambah cerdas.
99. "Ya
Shabuur!" Agar kita diberi kesabaran oleh Allah dalam segala
hal, maka perbanyakkanlah zikir ini menurut kemampuan. Dengan sifat sabar dan
penuh pengharapan kepada Allah, maka segala usaha dan upaya akan mencapai
kejayaan.
No comments:
Post a Comment