Mufti
Mesir, Sheikh Prof. Dr. Ali Juma’ah Muhammad telah ditanya berhubung
menyambut Nisfu Sya’ban dan malam-malam keagamaan dengan mengadakan bacaan
Yasin, ceramah dan berpuasa pada keesokan harinya. Beliau menjawab seperti mana
yang dimuatkan di laman web Darul Ifta al-Misriyyah, seperti di bawah.
Pertama, Malam Nisfu Sya’ban adalah malam
yang diberkati. Kelebihannya disebut oleh banyak hadis yang saling menguatkan
antara satu sama lain mengangkat darjahnya kepada hasan dan kuat. Oleh itu,
memberi perhatian kepada malam itu dan menghidupkannya merupakan tanda
kecintaan kepada agama tanpa diragui lagi. Ini setelah kita mengenepikan
hadis-hadis yang dhaif atau maudhuk berkenaan kelebihan malam tersebut.
Di
antara hadis-hadis yang ada bagi kelebihan malam tersebut;
- Hadis dari
Ummul Mukminin Aisyah r.a. yang menceritakan: Suatu malam aku mendapati
Rasulullah tiada bersamaku, lalu aku keluar mencari beliau. Aku menemuinya
di perkuburan al-Baqi’ sedang mendongak kepalanya ke langit, lalu baginda
berkata kepadaku; “Wahai Aisyah, apakah kamu khuatir Allah dan RasulNya
akan menganiayai kamu”. Aku menjawab; “Aku tidak rasa begitu, akan tetapi
aku mengangka kamu keluar ke rumah isteri kamu yang lain”. Lalu Nabi
bersabda; “Sesungguhnya pada malam Nisfu Sya’ban Allah Taala turun ke
langit dunia, lalu Dia mengampunkan hambanya lebih ramai dari bilangan
bulu kambing milik kabilah Kalb (*Kabilah al-Kalbi; satu kabilah di
kalangan orang Arab yang paling banyak membela kambing) (HR Imam at-Tirmizi,
Ibnu Majah dan Ahmad).
- Hadis dari
Mu’az bin Jabal yang menceritakan; Nabi s.a.w. Bersabda; “Pada malam nisfu
Sya’ban, Allah melihat kepada sekelian makhlukNya. Lalu Dia mengampunkan
ke semua mereka kecuali orang musyrik dan orang yang bermusuh dengan saudara
seagama” (HR Imam at-Thabrani dan disahihkan oleh Ibnu Hibban).
- Hadis dari Ali
bin Thalib r.a. yang menceritakan; Nabi bersabda; “Bila tiba malam Nisfu
Sya’ban, bangunlah menghidupkan malamnya dan berpuasalah pada siangnya
kerana sesungguhnya Allah turun pada malam itu ke langit dunia bermula
dari saat terbenam matahari dan Allah berkata; Tiadakah orang yang memohon
ampun untuk Aku ampuninya. Tiadakah orang yang memohon rezeki untuk aku
beri rezeki kepadanya. Tiadakah yang ditimpa bala, untuk aku beri keselamatan
untuknya. Tiadakah orang yang melakukan demikian dan demikian…hinggalah
terbit fajar”. (HR Imam Ibnu Majah)
Tidak
menjadi halangan untuk membaca Yasin sebanyak 3 kali selepas solat
Maghrib secara beramai-ramai kerana ia masuk dalam pengertian menghidupkan
malam tersebut. Dalam perkara zikir, Syariat memberi keluasan kepada umat
Islam. Mengkhaskan beberapa tempat tertentu dan masa-masa tertentu untuk
beramal soleh secara berterusan merupakan suatu yang masyru’ (disyariatkan)
selama pelakunya tidak mengiktiqadkan ia adalah kewajipan Syariat yang berdosa
siapa meninggalkannya. Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a. yang
menceritakan; “Rasulullah s.a.w. mengunjungi masjid Quba pada setiap hari Sabtu
dengan berjalan kaki dan menunggang kenderaan” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim)
Berkata Imam Ibnu Hajar dalam kitabnya Fathul Bari “Hadis
ini dengan pelbagai jalannya menunjukkan keharusan mengkhususkan hari-hari
tertentu untuk melakukan amal-amal soleh tertentu dan berterusan melakukannya”.
Berkata Imam
Ibnu Rejab dalam kitabnya Lataif al-Maarif; Para ulamak dari kalangan
penduduk Syam berbeza pandangan pada cara menghidupkan malam Nisfu Sya’ban itu
dengan dua pendapat;
1.
Pandangan pertama: Digalakkan menghidupkannya secara berjamaah di masjid, di mana
Khalid bin Ma’dan (seorang Tabi’in), Luqman bin ‘Amir (seorang Tabi’in juga)
dan beberapa ulamak lagi pada malam itu mereka akan memakai pakaian yang paling
elok, berwangian dan bercelak dan menuju ke masjib untuk beribadah bagi
menghidupkan malam tersebut. Imam Ishaq bin Rahawaih (dari kalangan Tabi’
Tabiin) turut menyetujui mereka dan ia berkata tentang menghidupkan malam Nisfu
Sya’ban secara berjamaah di masjid; “Ia tidaklah bid’ah”. Dinaqalkan
darinya oleh Harb al-Kirmani dalam kitabnya al-Masail.
2.
Pandangan kedua: Dimakruhkan berhimpun di masjid-masjid untuk mengerjakan
solat, mendengar kisah-kisah dan berdoa, tetapi tidak makruh jika mengerjakan
solat pada malam tersebut di masjid secara bersendirian. Pandangan ini
merupakan pegangan Imam al-Auza’ie (Tabi’in).
Dari itu, menghidupkan malam Nisfu Sya’ban dengan
cara yang disebutkan tadi adalah disyariatkan, bukan bid’ah dan tidak
dimakruhkan, dengan syarat ia dikerjakan bukan atas dasar kemestian dan
kewajipan. Sekiranya ia dikerjakan dengan cara memestikan orang lain dan
menganggap berdosa sesiapa yang tidak bersama mengerjakannya, pada ketika itu
ia menjadi bid’ah kerana mewajibkan sesuatu yang tidak pernah
diwajibkan oleh Allah dan RasulNya. Inilah yang dimaksudkan oleh sebahagian
ulamak Salaf yang memakruhkan amalan menghidupkan malam Nisfu Sya’ban secara
berjamaah itu (yakni kerana mereka khuatir akan dianggap wajib oleh
masyarakat). Maka jika tidak dianggap wajib, tidaklah dimakruhkan.
Sumber: ikimfm
No comments:
Post a Comment