Setelah
nyata kepada kita kewajipan menyintai dan mengasihi Nabi Muhammad SAW
berdasarkan dalil-dalil naqli dan aqli yang jelas, marilah pula kita cuba
membincangkan tanda dan bukti kasih dan kecintaan seseorang terhadap baginda .
Deklarasi cinta yang tidak disusuli dengan pembuktian amali tentu sahaja masih
belum mencukupi untuk membentuk cinta sejati.Bukti yang paling mudah dilihat,
seseorang yang benar-benar mengasihi kekasihnya, akan mengutamakan insan yang
dikasihinya daripada dirinya sendiri dan kehendak peribadinya. Jika tidak
mencapai tahap ini hubungan tersebut belum layak dinamakan kasih sejati yang
ikhlas-murni, tetapi baru sekadar dakwaan semata-mata.
Keutamaan
mentaati dan mengutamakan orang yang dikasihi ini jelas dapat dilihat dalam
ungkapan seorang pencinta Allah SWT dan NabiNya SAW yang tidak asing lagi,
Rabi’ah al Adawiyyah dalam syairnya: “Sesungguhnya seorang kekasih itu akan
taat-patuh kepada yang dikasihinya.”
Selain
memiliki semangat di atas, orang-orang yang benar-benar mengasihi Nabi SAW
harus terdapat pada dirinya bukti dan tanda berikut:
1.
Menjunjung agama Nabinya, mengamalkan Sunnahnya, menurut perkataan dan
perbuatannya dalam setiap keadaan, melaksanakan suruhannya dan menjauhi
larangannya. Dia juga mengamalkan adab-adab kehidupan Rasulullah SAW dalam
segala keadaan, sama ada ketika susah atau pun senang, ketika gembira atau pun
sedih. Ikatan antara ‘kasih’ dan ‘taat’ ini terlihat jelas dalam firman Allah
SWT: “Katakanlah (wahai Muhammad), “Jika benar kamu mengasihi Allah maka
ikutilah daku, nescaya Allah akan mengasihi kamu.” (ali ‘Imran: 31) Namun
semangat semata-mata tidak memadai jika tidak berpaksikan di atas ilmu yang
kukuh. Lebih-lebih lagi pada zaman fitnah ini, kegagalan seseorang itu mengenal
mana satu Sunnah dan bidaah akan memungkinkan terjebak ke dalam lubuk bidaah
yang dianggap sebagai Sunnah. Akhirnya Sunnah dipinggirkan dan bidaah
ditegakkan.
Orang
yang tersemat di dalam hatinya kasih yang sejati terhadap Rasulullah SAW juga,
tidak akan mempedulikan kemarahan manusia lain dalam usahanya mentaati Allah
SWT dan Rasul SAW.
2.
Sudah menjadi adat dan lumrah berkasih, seorang kekasih akan sering menyebut
dan mengingati kekasihnya. Justeru, apabila hati seseorang itu telah
mengisytiharkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW, maka lidahnya akan sering
menyebut nama Kekasihnya SAW dan kotak fikirannya akan sentiasa mengingati
Baginda SAW.
Selaku
umat Muhammad SAW, kita amat bertuah kerana telah diajar berselawat ke atas
kekasih kita Nabi Muhammad SAW sebagai salah satu bentuk ibadah dan taqarrub
kepada Allah SWT. Maka kita beruntung kerana dapat beribadah dengan menyebut,
memuji dan berselawat kepada insan yang paling kita cintai dengan membaca
ayat-ayat al-Quran yang memuji Nabi SAW serta lafaz selawat yang diajar sendiri
oleh Baginda SAW.
Kita
juga dididik oleh Nabi SAW dan ulama pewaris Baginda SAW menghormati hari dan
bulan kebesaran Islam seperti Maulid al-Rasul SAW dan Isra’ Mikraj dengan
mengisinya dengan pelbagai amalan yang kesemuanya ada kaitan dengan Nabi SAW
dalam kerangka ubudiah kepada Allah SWT. Walaupun ada segelintir di kalangan
orang Islam sendiri mencurigai bacaan dan amalan-amalan ini.
Menghayati
dan memperjuangkan agama seiring dengan berkasih-sayang dengan Nabi SAW
dirasakan begitu indah dan menyegarkan. Sebaliknya tanpa dimensi ini,
menghayati agama boleh terasa gersang dan membebankan serta cenderung membentuk
jiwa keagamaan yang keras dan kasar.
3.
Orang yang mengasihi Nabi SAW akan sentiasa berasa rindu untuk bertemu dengan
Baginda SAW; untuk melihat zatnya di alam yang kekal abadi kelak, atau
sekurang-kurangnya jika dapat menatap kelibat wajahnya yang mulia barang
seketika dalam mimpi-mimpi mereka. Sudah pasti setiap kekasih sangat merindui
untuk bersua dan menatap wajah kekasihnya.
Kerinduan
sebeginilah yang dapat kita rasakan jika kita menyorot kehidupan generasi
sahabat. Misalnya, kita dapat turut berkongsi keriangan dan kegembiraan Abu
Musa al Asy’ari r.a dan rombongan kaumnya dari Yaman yang berkunjung ke
Madinah.
Mereka
mempercepatkan langkah dan begitu girang untuk menemui Rasulullah sambil
mendendangkan syair kegembiraan: “Esok kita akan bertemu dengan para kekasih
kita, Muhammad dan sahabat-sahabatnya!” Setibanya mereka di Madinah dan Masjid
Nabi, mereka terus menghadap dan memuliakan Nabi SAW. (riwayat Al-Baihaqi).
4.
Seseorang yang mengasihi Baginda SAW juga akan membesarkan diri dan suruhan
Baginda termasuk memuliakannya ketika menyebut namanya. Malah ada yang sehingga
menunjukkan rasa rendah dan hina diri ketika mendengar nama Baginda SAW disebut
di hadapan mereka. Berkata
Ishaq al-Tujibi r.a, sahabat-sahabat Nabi SAW selepas kewafatan Baginda SAW
tidak akan menyebut nama Baginda SAW melainkan mereka akan merendahkan diri dan
menggigil serta menangis kerana diselubungi perasaan rindu yang dalam akibat
berpisah dengannya.
Hal
ini sangat berbeza dengan sesetengah mereka yang mengaku sebagai ahli agama
pada zaman kita yang tidak mahu membesarkan dan menobatkan keistimewaan Nabi
Muhammad SAW tetapi hanya menumpukan kepada risalahnya dan sunnah yang dibawa
olehnya. Seolah-olah Nabi SAW hanyalah berperanan seumpama posmen penghantar
surat atau orang suruhan bawahan!
Sedangkan
apabila seseorang makhluk itu mempunyai sifat-sifat istimewa tersebut, maka
sifat-sifat itu hanya sekadar yang bersesuaian dengan kemanusiaannya yang
diciptakan terbatas dan diperolehi dengan izin, kurniaan dan kehendak-Nya.
Mengasihi
Nabi SAW
Ada
juga sesetengah mereka yang menolak penggunaan gelaran Sayyidina bagi Nabi SAW
sedangkan Nabi SAW lebih daripada layak mendapat gelaran tersebut tetapi dalam
masa yang sama mereka bebas menggunakan pelbagai gelaran dalam kehidupan
mereka.
5.
Orang yang mengasihi Nabi SAW juga sepatutnya akan mengasihi orang yang
dikasihi oleh Nabi SAW terutamanya nasab keturunannya dari kalangan ahli-ahli
bait dan sahabat-sahabatnya yang terdiri daripada kaum Muhajirin dan Ansar.
Mereka
juga akan memusuhi orang yang memusuhi mereka dan membenci orang yang membenci
mereka dan keturunan mereka.
Hakikatnya,
sesiapa yang mengasihi seseorang, dia akan mengasihi semua perkara yang disukai
oleh orang yang dikasihinya.
Ini
ialah sirah para Salaf al-Salih; mereka akan mengasihi segala yang dikasihi
oleh Rasulullah SAW sehinggakan terhadap perkara-perkara yang sekadar
diharuskan dan digemari oleh nafsu (yang tidak diharamkan oleh syarak).
Anas
ibn Malik r.a misalnya, setelah melihat Rasulullah SAW mencari-cari labu di
dalam dulang ketika sedang menikmati makanan, maka semenjak hari itu dia turut
sentiasa suka kepada labu.
6.
Orang yang mengasihi Nabi SAW akan membenci apa yang dibenci oleh Allah dan
Rasul-Nya, menjauhi orang yang menyalahi Sunnahnya, melakukan perkara bidaah
dalam agamanya dan memandang berat setiap perkara yang bercanggah dengan
syariatnya.
Allah
SWT menjelaskan: Engkau tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada
Allah dan hari Akhirat, tergamak berkasih mesra dengan orang-orang yang
menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang yang menentang itu
ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka,
ataupun keluarga mereka. (al-Mujadalah: 22) “Mereka”
yang dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah para sahabat Baginda SAW yang
telah membunuh orang yang mereka kasihi dan juga bapa-bapa mereka yang ingkar
dan kafir semata-mata mengharapkan keredaan Allah. Ibnu Abbas RA menyatakan, di
antara sahabat Baginda SAW yang dimaksudkan di dalam ayat itu ialah Abu Ubaidah
al-Jarrah.
Beliau
sanggup membunuh bapanya dalam peperangan Uhud manakala Saidina Abu Bakar r.a
sanggup berlawan satu lawan satu dengan anaknya sebelum memulakan peperangan
Badar, tetapi dihalang oleh Rasulullah SAW. Inilah antara bukti cinta yang
tidak berbelah-bagi terhadap Baginda SAW.
7.
Orang yang benar-benar mencintai Nabi SAW juga pasti akan kasih terhadap
al-Quran yang diutuskan kepada Rasulullah SAW yang dengannya manusia mendapat
petunjuk. Mereka akan mengikut jejak Baginda SAW yang menjiwai al-Quran dan
berakhlak dengannya seperti yang ditegaskan oleh Ummul Mukminin, Aisyah r.ha
dalam katanya, “Akhlak Baginda SAW adalah al- Quran itu sendiri”.
Mengasihi
al-Quran bererti membacanya, beramal dengannya, memahaminya, menjunjung suruhan
dan meninggalkan larangannya.
8.
Tanda kasih terhadap Nabi SAW juga ialah berasa kasih dan belas terhadap
umatnya dengan memberi nasihat kepada mereka, berusaha melakukan kebaikan dan
menghapuskan kemudaratan daripada mereka.