Nabi
S.A.W. bersabda yang maksudnya : "Tiap mata pasti akan menangis pada hari
kiamat, kecuali mata yang dipejamkan dari segala yang haram dan mata yang
berjaga malam dalam jihad fisabilillah dan mata yang mentitiskan air mata
walaupun sebesar kepala lalat kerana takutkan Allah." (Hadis Riwayat Abu
Naim)
Berdasarkan
hadis di atas 3 mata yang akan mendapat rahmat Allah S.W.T dihari akhirat yang
mana ketika itu ramai mata-mata yang menangis penyesalan:
1. Mata
yang dipejamkan dari segala yang haram.
2. Mata
yang berjaga malam dalam jihad fisabilillah.
3. Mata
yang mentitiskan air mata walaupun sebesar kepala lalat kerana takutkan Allah.
Pertama: Mata yang dipejamkan dari segala yang haram.
Terlalu
banyak maksiat dilakukan oleh manusia melalui mata. Mata ini akan menjadi saksi
di hari akhirat nanti kerana manusia menyalahgunakan nikmat mata yang
dikurniakan oleh Allah S.W.T. dengan melihat perkara yang haram. Dosa-dosa yang
dilakukan oleh mata adalah seperti berikut:
1.
mengekori aurat wanita/ lelaki.
2.
melihat gambar/ dvd/ internet lucah.
3.
menggunakan ilmu sihir melalui mata dan membaca mentera-mentera sihir untuk
melakukan sihir kepada orang lain.
4.
menulis, mengarang dan mencari bahan-bahan fitnah dan menyebarkan fitnah
tersebut kepada orang lain.
5.
mengintip rahsia dan mengambil gambar dan mendedahkan keaiban seseorang.
Apabila
seseorang menggunakan matanya untuk melakukan apa saja perkara maksiat,
sebenarnya matanya telah melakukan dosa. Tetapi apabila mata digunakan untuk
solat, membaca al-Quran, menulis dan mengarang ilmu yang bermanfaat, melihat
alam ciptaan Allah dan merasai keagungan-Nya dan perkara-perkara yang
bermanfaat yang lain maka Allah S.W.T. akan mengurniakan pahala dan mata ini
nanti akan merasai gembira di hari akhirat.
Sabda
Nabi S.A.W. maksudnya: "Barangsiapa yang menjadikan dunia sebagai
cita-citanya, nescaya Allah SWT mencerai-beraikan urusannya dan dijadikan
kefakiran di hadapan kedua matanya dan Allah tidak memberinya dari harta dunia
ini, kecuali apa yang telah ditetapkan untuknya.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Kedua: Mata yang berjaga malam dalam jihad fisabilillah.
Jihad
dijalan Allah adalah sebaik-baik amalan dilakukan semata-mata untuk
mendaulatkan hukum-hukum Allah. Tanpa jihad dan pengorbanan Islam tidak mampu
ditegakkan dan dihayati dalam kehidupan bermasyarakat. Jika seseorang mati
ketika berjihad mempertahankan daulah Islam, mempertahankan negaraIslam
daripada diceroboh oleh orang kafir atau penyebaran dakwah Islam disekat oleh
musuh Islam maka mati tersebut adalah mati syahid. Mati yang mulia dan akan
dimasukkan oleh Allah S.W.T kedalam syurga tanpa hisab.
Mata
yang berjaga malam ketika berjihad dijalan Allah S.W.T. untuk menjaga
kepentingan Islam daripada diserang musuh adalah mata yang dirahmati Allah
S.W.T. di hari akhirat nanti mata ini tidak akan menangis kesedihan. Mata yang
mulia ini akan memberitahu Allah S.W.T. bahawa dia digunakan untuk mencari
reda-Nya semasa di dunia dahulu.
Dalam realiti
kita sekarang ini kita juga boleh qiyaskan bahawa kita berjaga malam untuk
mengawal kawasan progrem-progrem dakwah, tarbiah, motivasi, muqayam, tamrin dan
rehlah dikawasan hutan atau tepi pantai adalah dikira sama dengan mengawal
semasa jihad fisabilillah. Jihad untuk memberi kesedaran dan kefahaman ilmu
Islam adalah juga dikira sebagai kerja-kerja jihad dijalan Allah S.W.T.
Ketiga: Mata yang mentitiskan air mata walaupun sebesar kepala lalat kerana takutkan Allah.
Dari
Sayyidina Khalid bin Al-Walid Radiallahu’anhu telah berkata : Telah datang
seorang arab desa kepada Rasulullah s.a.w. yang mana dia menyatakan tujuannya :
"Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kedatanganku ini adalah untuk bertanya
kepada engkau mengenai apa yang akan menyempurnakan diriku di dunia dan
akhirat". Maka baginda s.a.w telah berkata kepadanya : "Tanyalah apa
yang engkau kehendak."
Dia
berkata: "Siapa yang terselamat daripada dosa?"
Baginda
S.A.W menjawab: "Orang yang sentiasa mengalir air mata penyesalan, mereka
yang tunduk pada kehendakNya dan mereka yang ditimpa kesakitan."
Sabda
Rasulullah s.a.w maksudnya: “Tidak ada sesuatu yang paling disukai Allah SWT
selain daripada dua titisan dan dua kesan. Dua titisan itu ialah titisan air
mata yang keluar kerana takutkan Allah SWT dan titisan darah yang tumpah di
dalam perjuangan di jalan Allah. Manakala dua kesan ialah kesan berjuang di
jalan Allah SWT dan kesan kerana menunaikan kefardhuan yang telah difardhukan
oleh Allah.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Tangisan
dapat memadamkan api neraka. Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya :
"Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan
mengharamkan tubuhnya dari api neraka. Dan apabila air matanya mengalir ke pipi
maka wajahnya tidak akan terkotori oleh debu kehinaan, apabila seorang daripada
suatu kaum menangis, maka kaum itu akan di rahmati. Tidaklah ada sesuatupun
yang tak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata
dapat memadamkan lautan api neraka."
Rasulullah
S.A.W. bersabda yang bermaksud :
"Bahawa
tidak akan masuk Neraka orang yang menangis kerana takut kepada Allah sehingga
ada air susu kembali ke tempat asalnya."
Di
dalam kitab Daqa'iqul Akhbar menerangkan bahawa akan didatangkan seseorang
hamba pada hari kiamat nanti, dan sangat beratlah timbangan kejahatannya dan
telah diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam neraka, maka salah satu daripada
rambut-rambut matanya pun berkata : "Wahai Tuhanku ! Rasul Engkau Nabi
Muhammad S.A.W. pernah bersabda : 'Sesiapa yang menangis kerana takut kepada
Allah , maka Allah mengharamkan matanya itu ke neraka', dan sesungguhnya aku
menangis kerana amat takut kepada-Mu."
Akhirnya
Allah S.W.T. mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api neraka, dengan
berkata sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada Allah S.W.T.
Malaikat Jibrail a.s. mengumumkan : "Telah selamat Fulan bin Fulan sebab
sehelai rambut"
Dalam
sebuah kitab Bidayatul - Hidayah diceritakan bahawa pada hari kiamat nanti, akan
di datangkan Neraka Jahanam dengan mengeluarkan suaranya, suara nyalaan api
yang sangat mengerunkan, semua umat menjadi berlutut kerana kesusahan
menghadapinya.
Allah
S.W.T. berfirman yang bermaksud:
"Kamu
lihat (pada hari itu) setiap umat berlutut (yakni merangkak pada lututnya).
Tiap-tiap umat di seru kepada buku amalannya (di katakan padanya). Pada hari
ini kamu di balas menurut apa-apa yang telah di kerjakan"
(Surah
Al-Jatsiyah ayat 28)
Sebaik
sahaja mereka menghampiri neraka, mereka mendengarkan kegeramannya api neraka
dengan nyalaan apinya, dan di terangkan dalam kitab tersebut bahawa suara
nyalaan api neraka itu dapat di dengar sejauh 500 tahun perjalanan.
Pada
waktu itu akan berkata setiap orang hingga para Nabi-nabi dengan ucapan :
"Diriku,
diriku" (selamatkan diriku ya Allah), hanya seorang Nabi sahaja yang akan
berkata : "Umatku, umatku," baginda ialah Junjungan Besar Nabi
Muhammad S.A.W.
Pada
masa itu akan keluarlah api Neraka Jahim seperti gunung-gunung, umat-umat Nabi
Muhammad S.A.W. berusaha menghalanginya dengan berkata : "Wahai api ! Demi
hak orang-orang yang solat. Demi hak orang-orang yang ahli bersedekah. Demi hak
orang-orang yang kyusuk. Dan demi hak orang yang berpuasa, supaya engkau
kembali !
Walaupun
dikatakan demikian api neraka itu tetap tidak mahu kembali, lalu Malaikat
Jibrail berkata : Sesungguhnya api neraka itu menuju pada umat Muhammad S.A.W."
Kemudian
Jibrail membawa semangkuk air dan Rasulullah S.A.W. meraihnya, dan berkata
Jibrail a.s. "Wahai Rasulullah, ambillah air ini dan siramkanlah padanya."
Lalu
baginda mengambil dan menyiramkannya pada api itu, maka padamlah api itu.
Setelah
itu Rasulullah S.A.W. pun bertanya kepada Jibrail a.s.:
"Wahai
Jibrail! air apa itu?"
Maka
berkata Jibrail: Itulah air mata-air mata orang derhaka yang terdiri dari
umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Sekarang aku
diperintahkan untuk memberikannya padamu agar engkau menyiramkan pada api itu,
maka padamlah api itu dengan izin Allah S.W.T
Telah
bersabda Rasulullah S.W.T. yang bermaksud: "Ya Allah, anugerahilah kepada
kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak
ditemukannya air mata."
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita kita beramal soleh dengan
mengikhlaskan hati kita kepada Allah S.W.T. Gunakanlah semua pancaindera kita
untuk melakukan ketaatan kepada Allah S.W.T. Tanda kita bersyukur dengan
nikmat kaki, tangan, hidung, mulut, telinga dan mata yang dikurniakan oleh
Allah S.W.T. maka kita gunakan pancaindera ini untuk mentaati-Nya. Nikmat mata
kurniaan Allah S.W.T. adalah satu kurniaan yang besar, jika mata melihat yang
halal dan mata menangis mengalirkan air mata kerana takutkan-Nya maka air mata
ini akan dapat memadapkan kemarakkan api neraka. Salah satu golongan yang akan
mendapat perlindungan Arasy adalah seorang yang berdoa seorang diri menitiskan
air mata penyesalan dan bertaubat kepada Allah S.W.T.
No comments:
Post a Comment